Tuesday, September 21, 2010

Kebebasan Mutlak Media Baru Akan Memusnahkan Keharmonian Sosial

KEBEBASAN MUTLAK MEDIA BARU AKAN MEMUSNAHKAN KEHARMONIAN SOSIAL
Pernahkah kita sedar tentang gelojak keruntuhan sosial yang semakin menular? Dusta jika anda mengatakan tidak. Ini kerana pelbagai faktor dapat menyumbang ke arah masalah sosial yang kian meruncing. Dalam hal ini, di antara faktor yang mampu memusnahkan keharmonian sosial ialah kebebasan yang diberikan kepada media baru.

Menurut seorang pakar di Indonesia iaitu Soerjono Soekanto, beliau telah mengklasifikasikan  masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan atau masyarakat, yang membahayakan sesebuah kelompok sosial masyarakat. Jika hal ini terjadi ia akan menimbulkan masalah di dalam hubungan social sesuatu masyarakat itu.

Sehingga hari ini, definisi media baru masih dipersoalkan serta dibahaskan sehingga ke peringkat antarabangsa. Menurut kamus Oxford English Dictionary (2003), mendefiniskan media baru sebagai kaedah elektronik untuk berkomunikasi atau menyalurkan maklumat. Ensiklopedia bebas Wikipedia (2009) pula merujuk istilah „media baru sebagai menerangkan fenomena kewujudan teknologi digital untuk menyalurkan maklumat dan berkomunikasi. Kedua-dua definisi ini selaras dengan definisi yang diberikan oleh AIMS (Advisory Council on the Impact of New Media on Society) yang ditubuhkan di Singapura pada April, 2007.

Penggunaan media baru di dalam masyarakat sedunia semakin hari semakin berganda tidak kira pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai contoh kehadiran Youtube dalam mengeluarkan informasi tanpa batasan. Apa yang dapat kita saksikan zaman ini, di dalam Youtube tidak ada sebarang kekangan dalam mengeluarkan sebarang maklumat atau imej yang kadangkala berbaur perkauman dan perkara yang berunsur lucah. Di Youtube kita dapat belajar dan mengetahui sesuatu yang menarik tetapi di dalam yang menarik itu juga ada sesuatu yang ‘merosakkan’. Ini bermakna Youtube mengeluarkan apa sahaja tanpa sebarang halangan.
Tidak melampau jika saya mengatakan bahawa kebebasan yang diberikan kepada media baru akan membawa kerosakan kepada keharmonian sosial. Menurut Dr. Abu Hassan, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, dalam kajiannya menyatakan rakyat Malaysia hanya 8% atau 3 buah buku sahaja di baca dalam setahun. Ini dengan jelas menyatakan bahawa rakyat Malaysia lebih bergantung kepada media baru dalam mendapatkan informasi. Jika ia tidak dibendung masyarakat kita akan menjadi semakin malas dan mundur.

Satu contoh yang dapat saya berikan ialah perselisihan pendapat di antara Indonesia dan Malaysia suatu ketika jika tidak dibendung bakal menggugat kestabilan sosial dan politik kedua-dua Negara jika tidak dibendung dengan cara yang betul. Hal ini berlaku kerana kebebasan yang telah diberikan kepada media massa. Kenyataan ini turut diakui oleh Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn.Bhd., Datuk Mior Kamarul Shahid, yang menyatakan bahawa media di Indonesia bebas menulis sebarang berita berbanding media di Malaysia yang mengamalkan etika, mempunyai batasan, mementingkan hubungan dan tanggungjawab sosial . Katanya, hubungan antara kedua-dua kerajaan tidak mempunyai masalah tetapi tidak kepada rakyat kedua-dua Negara.

Melalui pengalaman sendiri, kehadiran ruangan lucah di dalam ruangan maya.Yang lebih memualkan ialah imej gadis muda dengan pakaian yang tidak cukup kain dipaparkan sebesar-besarnya. Apa yang saya lihat ialah jika seseorang itu inginkan gambar seksi atau memberahikan gadis tersebut, pelayar itu harus memasukkan ‘top-up’ telefon bimbit gadis tersebut, kemudian gadis itu akan memberi mereka kod akses ke gambar mereka. Penggunaan media baru yang tiada batasan itu amat membimbangkan sesetengah pihak. Kerana terlalu canggih, maklumat, berita informasi, laporan serta idea seseorang yang dipaparkan di laman media baru dapat dipinda dengan mudah tanpa sebarang perasaan bersalah.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sendiri telah melahirkan perasaan dukacita baginda terhadap pengabaian kebebasan yang telah dilakukan oleh media baru. “fitnah, pembohongan dan pemesongan fakta masih berterusan . Semua pihak yang terlibat perlu sedari, tiada agama yang merestui tindakan sedemikian. Baginda Tuanku sendiri mengecam tindakan media baru yang mengamalkan kebebasan mutlak dalam mewartakan sesuatu perkara. Baginda turut memberi amaran kepada pengamal media baru bahawa pihak yang berkenaan akan mengambil tindakan tegas jika mereka bertindak dalam pemwartaan tanpa had.

Menurut pandangan Prof. Dr Fatimah Yusoff, Ketua Program Psikologi, Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM, beliau menyifatkan bahawa media massa turut mejadi penyumbang kepada berlakunya gejala sosial di kalangan para beliawan kini. Tetapi tidak semua yang ditayangkan di media itu memberikan kesan buruk. Walaubagaimanapun, masih wujud segelintir program-program yang memaparkan pergaulan bebas anak muda. Ia sama sekali jauh terpesong dari budaya ketimuran.

Sedarlah bahawa Negara dan masyarakat kita sedang dilanda keruntuhan sosial yang mengancam kestabilan politik, agama,bangsa dan Negara. Di manakah generasi kita di masa akan datang? Tegarkah kita melihat anak-anak muda,generasi masa depan ini terumbang-ambing mencari satu jalan iaitu jalan memperbaiki kemusnahan keharmonian sosial ini? Bangkitlah wahai rakyat sekalian buka mata, buka minda anda,bersama-samalah kita menjadi pengampang kepada kebebasan media baru.

Gambar: Mat Rempit salah satu keruntuhan sosial anak remaja masa kini.

Masalah sosial yang semakin meruncing di masa ini.

No comments:

Post a Comment