Tuesday, August 24, 2010

Kisah Rasul: Pemuda Beribu Bapa Babi

Di atas bukit itulah baginda akan bercakap dengan Allah. Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tiada pada nabi lain.



Suatu hari Nabi Musa bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?" Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Selepas beberapa hari dalam perjalanan, Nabi Musa sampai ke tempat itu dan dengan pertolongan beberapa penduduk, Baginda bertemu dengan orang itu. Selepas memberi salam, Baginda dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu. Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke bilik dan melakukan sesuatu di dalam sebelum keluar dan membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?” kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Selepas itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.

Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid," jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu," Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba," kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua-dua babi itu adalah ibu bapa kandungku. Oleh kerana mereka melakukan dosa besar, Allah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodoh. “Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. “Hari-hari aku berbakti kepada ibu bapaku seperti mana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka babi, aku tetap melaksanakan tugasku.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia sebenar tetapi Allah belum memakbulkan," tambah pemuda itu lagi.

Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa, “Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di syurga nanti kerana berbakti kepada ibu bapanya. “Ibu bapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh di sisi Kami." Allah berfirman lagi yang bermaksud: "Oleh kerana dia berada di maqam anak yang soleh di sisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat ibu bapanya yang Kami sediakan di neraka, Kami pindahkan ke syurga." Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibu bapa yang akan masuk ke neraka pindah ke syurga. Ini hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibu bapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibu bapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.





Walau bagaimana buruk sekali pun perangai ibu bapa kita, itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.





Doa anak yang soleh akan membantu ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan ibu bapa di alam kubur.





Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak kepada ibu bapanya ialah dengan doanya supaya mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah.

Kisah Rasul: Nabi Yusuf Tafsir Mimpi

Dia bermimpi seakan-akan melihat tujuh ekor sapi betina yang kurus-kurus. Di samping itu dia melihat dalam mimpinya tujuh butir gandum hijau di samping tujuh butir lain yang kering.
Tidak seorang pun daripada pembesar yang didatangkan itu yang dapat memberi tafsiran bagi mimpi raja itu bahkan sebahagian daripada mereka menganggapnya mimpi kosong. Pelayan raja, pemuda teman Yusuf dalam penjara, pada masa pertemuan Raja dengan tetamunya, kemudian teringat pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia akan dikeluarkan dari penjara dan bahawa tafsir yang diberikan oleh Nabi Yusuf bagi mimpinya adalah tepat.

Ia terjadi sebagaimana yang ditakdirkan. Lalu dia memberanikan diri menghampiri raja dan berkata: “Wahai tuanku! Hamba mempunyai seorang teman kenalan di dalam penjara yang pandai mentafsir mimpi. Dia adalah seorang yang cekap, ramah dan berbudi pekerti luhur. “Dia tidak berdosa dan tidak melakukan kesalahan. Dia dipenjara kerana fitnah dan tuduhan palsu. Dia memberi tafsiran bagi mimpiku sewaktu hamba berada dalam tahanan bersamanya.

“Ternyata tafsirannya tepat dan benar sesuai dengan apa yang hamba alami. Jika Tuanku berkenan, hamba akan pergi mengunjunginya di penjara untuk menanyakan dia berkenaan mimpi tuanku.” Dengan izin Raja, pelayan itu pergi mengunjungi Nabi Yusuf dalam penjara. Dia menyampaikan kepada Nabi Yusuf kisah mimpi raja.

Tidak seorang pun daripada anggota dan penasihatnya dapat memberikan tafsiran yang dapat melegakan hati raja berkenaan. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf bahawa jika raja berpuas hati dengan tafsir mimpinya, mungkin dia akan dikeluarkan dari penjara. Dengan demikian akan berakhirlah penderitaan yang dialami selama bertahun-tahun Nabi Yusuf di dalam penjara. Nabi Yusuf menguraikan mimpi Raja: “Negara akan menghadapi masa makmur, subur selama tujuh tahun, di mana tumbuh-tumbuhan dan semua tanaman gandum, padi dan sayur-mayur akan mengalami masa menuai yang baik yang membawa hasil makanan berlimpah-ruah.

“Kemudian masuk musim kemarau selama tujuh tahun berikutnya di mana Sungai Nil tidak memberi air yang cukup bagi ladang yang kering, tumbuh-tumbuhan dan tanaman rosak dimakan hama sedang persediaan bahan makanan, hasil tuaian selama bertahun subur sudah habis dimakan.” Akan tetapi, Nabi Yusuf melanjutkan keterangannya, setelah mengalami kedua musim tujuh tahun itu akan tibalah tahun basah di mana hujan akan turun dengan lebatnya menyirami tanah yang kering dan kembali menghijau menghasilkan bahan makanan dan buah-buahan yang lazat.

Maka jika tafsiranku ini menjadi kenyataan, Nabi Yusuf berkata: “Seharusnya kamu menyimpan baik-baik apa dihasilkan dalam tahun-tahun subur serta berjimat dalam pemakaiannya untuk persiapan menghadapi masa kering, agar supaya rakyat terhindar daripada bencana kelaparan dan kesengsaraan.” Apa yang diceritakan nabi Yusuf berkenaan mimpinya, berasakan bahawa tafsir yang didengar itu masuk akal dan boleh dipercayai.

Apa yang diramalkan Yusuf menjadi kenyataan. Tafsiran Nabi Yusuf adalah tepat kerana dia seorang yang pandai dan bijaksana dan sangat berguna untuk negara. Maka raja menyuruh pelayannya ke penjara untuk membawa Yusuf menghadapnya di istana. Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai orang tahanan dalam penjara itu bagaimanapun enggan keluar sebelum tuduhan serta fitnah yang dikenakan ke atas dirinya diterangkan. Nabi Yusuf ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci daripada dosa. Raja Mesir yang sudah banyak kali mendengar kehebatan Nabi Yusuf mentafsir mimpi mula berasa hormat kepadanya dan mendengar tuntutan­nya agar diselesaikan lebih dahulu. Ia adalah tuduhan dan fitnah yang dilemparkan atas dirinya. Tuntutan Nabi Yusuf diterima raja Mesir dan segera dikeluarkan dari penjara.

Kemudian raja memerintah­kan supaya mengumpulkan wanita yang menghadiri jamuan makan Zulaikha yang terhiris hujung jari tangan masing-masing ketika melihat wajahnya. Di hadapan raja mereka menceritakan apa yang mereka lihat dan alami. Mereka menyatakan Nabi Yusuf se­orang yang jujur, soleh, bersih dan bukan dialah yang salah dalam peristiwa dengan Zulaikha. Zulaikha pun dalam pertemuan itu, mengakui memang dialah yang berdosa dalam kejadian dengan Yusuf. Dialah yang menyuruh suaminya agar memenjarakan Yusuf untuk memberikan gambaran palsu kepada masyarakat dialah yang salah dan memperkosa kehormatannya.

Hasil pertemuan raja de­ngan wanita-wanita itu, dihebahkan agar seluruh lapisan masyarakat mengetahui hal yang sebenarnya. Dengan demikian tersingkaplah cerita sebenar peristiwa Nabi Yusuf dan Zulaikha. Atas perintah raja, Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara secara hormat, bersih dari segala tuduhan. Beliau kemudian pergi ke istana bagi memenuhi undangannya.